Tuesday, 1 August 2017

Day 3 - 22 Julai 2017 (Madinah)

Pusat Rawatan Dar Al-Jefri, Madinah


Setibanya di Madinah, kami dibawa terus ke Pusat Rawatan Madinah (PRM) di Dar Al-Jefri. Di sana kami disambut dengan sangat baik oleh team petugas Madinah yang diketuai oleh Dr. Hj. Nazaruddin (Pengarah Operasi Madinah) dan Hj. Rosman (Penyelia PRM). Walaupun sudah lewat malam, ketibaan kami pada jam 12 tengah malam tidak melunturkan layanan mereka terhadap kami yang baru sampai dari Makkah. Taklimat ringkas diberikan dan dimaklumkan juga ada van yang akan bawa petugas untuk ziarah dalam Masjid Nabawi dan Solat Subuh. Van akan tunggu di depan PRM pada jam 3.30 pagi kerana waktu Subuh masuk pada jam 4.15 pagi. Jika ada yang berminat bolehlah tunggu di depan PRM seperti yang telah ditetapkan. Kami terus disuruh naik ke bilik yang telah disediakan dan berehat sementara menunggu jam 3.30 pagi.

Beberapa kedai di sepanjang jalan tepi Hotel Al Haram menuju ke Masjidil Nabawi. Hujung deretan kedai ada StarBucks Coffee.
 Kami turun ke lobby dan menunggu van untuk ke Masjidil Nabawi. Kami di bawa dan diberhentikan di hadapan Hotel Al-Haram. Dari hotel Al-Haram kami menuju ke Masjid Nabawi masuk melalui pintu 25 dan 26.

Dari Hotel Al-Haram Madinah, laluan pejalan kaki di tepi hotel akan jelas kelihatan Masjidil Nabawi dengan melalui pintu masuk No.26. Hotel Al-Haram ini memang menjadi antara hotel penginapan jemaah haji Malaysia yang datang berziarah di Madinah.

Di dalam Masjid Nabawi menuju Raudhah, ketika ini baru jam 3.40 pagi, jemaah di waktu Subuh tidak berapa ramai, semua akan terus ke saf hadapan untuk solat jemaah.
 Sekali lagi kami terpegun dengan suasana dan keindahan Masjid Nabawi ini. Struktur luaran dan dalaman masjid ini sangat menakjubkan. Kawasan dalam masjid sangat indah dan sangat nyaman serta bersih. Syukur kami dapat menjejakkan kaki di Masjid Nabi ini. Peluang menunaikan solat sunat tidak disia-siakan sementara menuggu Azan Subuh.

Struktur dalaman Masjid Nabawi yang cantik dan indah serta disediakan Al-Quran di setiap tiang masjid untuk kegunaan pengunjung masjid. Disetiap tiang juga ada liang-liang pengudaraan penghawa dingin yang nyaman dan sangat selesa. Di samping itu turut disediakan container2 berisi air zam-zam untuk para jemaah masjid.

Masjid Nabawi sentiasa kelihatan bersih dan ini mendatangkan keselesaan jemaah untuk beribadah dan beriktikaf.


Sementara menunggu azan Subuh
 Kami terus menuju ke saf-saf hadapan yang sudah mula dipenuhi oleh jemaah. Begitu ramai umat manusia di dalam masjid ini untuk menunaikan Solat Subuh sangat berbeza dengan Solat Subuh di tanah air. Mungkin kerana fadhilat dan pahalanya besar membuatkan masyarakat setempat juga berebut-rebut memenuhi saf-saf hadapan. Di dalam Raudhah memang sudah penuh sejak kami sampai. InsyaAllah akan ada peluang lain untuk beribadah di dalam Raudhah.

Bahagian siling masjid yang penuh dengan ukiran dan ayat-ayat suci. Kipas yang ada tidak digunakan kerana didalam masjid sistem penghawa dingin dan pengudaraan sangat nyaman dan selesa.

Di pintu keluar selepas ziarah Makam Rasulullah SAW dan para sahabat. Laluan ini 1 way, dilarang oleh petugas masjid untuk U-turn kerana kesesakan jemaah.
Selesai menunaikan solat Subuh, kami mengikuti aliran perjalanan melalui Makam Rasulullah SAW dan sahabatNya. Salam dan selawat kami ucapkan serta Al-fatihah dan doa dihadiahkan. Rindu rasanya untuk kembali lagi ke sini menziarahi Makam Rasulullah SAW.

Dah selesai subuh. Berselfie dulu sebelum balik ke PRM

 Selepas pulang ke PRM, kami beristirahat dan kami telah dijadualkan untuk mengikuti program ziarah luar. Ziarah luar ini adalah satu kemestian apabila datang ke Madinah. Selesai sarapan pagi di PRM, kami menaiki bas yang telah disediakan dan memulakan perjalanan kami untuk program ziarah luar. Destinasi pertama adalah Masjid Quba. Masjid Quba ini adalah masjid pertama yang dibina Rasulullah SAW di Madinah ketika berhijrah dari Makkah. Jika kita menunaikan solat di dalamnya fadhilatnya adalah seperti menunaikan Umrah. Maka rugi kalau disia-siakan. Peluang menunaikan solat sunat direbut kami para petugas sebelum bergerak ke tempat ziarah yang lain.


Di hadapan Masjid Quba 

Sebelum memasuki masjid Quba utk solat2 sunat. (Hj. Rizal turut sama interframe =p)

Di saf hadapan Masjid Quba



Masjid Quba. Solat di masjid ini banyak fadhilatnya. Rugi kalau disia-siakan.


Peta penerangan tentang proses peperangan Uhud terjadi dimana anak panah hijau adalah aliran pertahanan tentera islam dan anak panah merah adalah aliran serangan tentera musyrikin. Bukit2 di belakang adalah bukit Uhud.

Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Bukit Uhud di mana d isinilah terjadinya peperangan kedua kaum muslimin selepas Perang Badar yang dipanggil Perang Uhud. Di bukit uhud ini bersemadi para syuhada Uhud yang berperang bersama Rasulullah SAW demi menegakkan agama Allah.

Bukit Uhud menjadi saksi peperangan kedua umat Islam yang dipanggil sebagai peperangan Uhud.

Di hadapan makam para Syuhada Uhud. Di sini juga bersemadi Panglima Islam @ Singa Allah Hamzah R.A yang terkorban syahid di medan perang Uhud yang juga bapa saudara kepada Rasulullah SAW

Jabal Ruma'h ini adalah bukit yang diarahkan oleh Rasulullah SAW untuk pasukan pemanah untuk menunggu ketika peperangan berlangsung untuk melindungi para panglima perang yang lain. Namun tatkala pasukan kaum muslimin hampir meraih kemenangan dan pasukan pemanah melihat orang-orang muslim sudah mengumpulkan harta rampasan dari pihak musuh, mereka pun 40 pemanah melanggar perintah Rasulullah SAW dan turun untuk ikut mengumpulkan harta ghanimah. Ketika inilah tentera Islam diserang balas oleh tentera berkuda Khalid Al-Walid.

Disediakan juga panduan penting ziarah di Uhud sebagai panduan para pengunjung.



Kami seterusnya ke Masjid Qiblatain. Masjid Qiblatain ini dibina untuk memperingati umat Islam tentang peristiwa berlakunya perubahan Qiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Kaabah Makkah Al-Mukarramah. Peristiwa tersebut dikatakan berlaku bukan di masjid ini namun berlaku di perkampungan di luar masjid ini. Masjid ini dibina untuk memperingati peristiwa tersebut. Qiblat yang ada di masjid ini sekarang adalah Qiblat menuju Kaabah Makkah Al-Mukarramah manakala Qiblat sebelumnya iaitu Baitul maqdis adalah dibahagian belakang apabila kita berpusing badan 90 darjah.

Di bahagian saf hadapan Masjid Qiblatain


Bahagian pintu belakang (saf belakang) bahagian atas masjid ada ukiran sejadah sebagai penanda Qiblat yang dahulu arah Baitul Maqdis

Ukiran sejadah sebagai penanda Qiblat yang lama
Masjid Qiblatain
Kami seterusnya dibawa ke kawasan Perang Khandak (Parit). Perang khandak juga menyaksikan umat Islam berperang dengan strategi menggali parit yang amat dalam dan besar agar pihak musuh kaum musyrikin tidak dapat masuk ke kawasan kaum muslimin. Parit tersebut dikatakan sangat besar dan sangat luas. Perkataan Khandaq adalah kata bahasa Arab dari bahasa Persia "kandak" (yang berarti "Itu yang telah digali"). Selesai di sana kami dibawa ke destinasi akhir iaitu kebun kurma.

Pohon kurma yang terdapat di kebun kurma ini. First time melawat kebun kurma. Sebelum ni tau makan je. hehe..


Kurma Sucari dan Kurma Ajwa yang diberi percuma oleh Tuan kebun kepada kami para petugas. Alhamdulillah syukur. Makan sampai kenyang.

Ditunjuk juga cara menebas dan mengutip kurma dari pelepahnya. MasyaAllah seram sejuk tgk pak Arab tu panjat pohon Kurma. Selamba dia je duduk pijak pelepah kat atsa pohon tu tapi tak jatuh. Ternyata pelepah kurma sangat kuat sehingga boleh menampung berat manusia. 

Kurma muda yang baru diturunkan khas untuk kami para petugas. Kurma muda disebut sebagai Rutob. Rasanya agak2 kelat dan tak beberapa manis. Dalam masa yang sama juga di atas kunjungan kami, kami semua diberi setiap seorang 2 bungkus kurma secara percuma. Alhamdulliah rezeki di bumi Allah ini tak putus-putus.
Selesai menjamu kurma di kebun kurma, kami terus pulang ke PRM untuk makan tengahari dan perjumpaan untuk taklimat dengan Dr.Nazaruddin (POM Madinah). Sewaktu taklimat dan taaruf kami ditempatkan dilokasi-lokasi tempat bertugas sementara menuggu ketibaan para jemaah haji Malaysia yang mula beberapa hari sahaja lagi.

Sesi kunjungan POM Madinah ke unit-unit di Pusat Rawatan Madinah berjalan lancar dan segala kekurang dilaporkan kepada beliau untuk tindakan lanjut. Alhamdulillah PRM telah siap sedia untuk beroperasi menerima para jemaah Malaysia yang tidak sihat.

Dalam masa yang sama beberapa klinik di Zon-zon di hotel-hotel penginapan jemaah haji Malaysia yang tertentu sedang giat dilaksanakan sebagai front liner perkhidmatan rawatan kesihatan yang akan dijalankan.


Kunjungan Dr. Nazaruddin (POM Madinah) ke unit kecemasan PRM.
Pada waktu malam hari, selepas diajak oleh rakan untuk keluar makan di luar, kami bertiga (bersama Dr. Ali dan Dr. Shahril) keluar untuk mencuba juadah khas Afrika yang terdapat di bumi Madinah. Juadah yang dimaksudkan adalah Sere. Sere adalah daging yang dipanggang dan makan dicicah dengan serbuk kari/cili. Boleh juga dimakan bersama roti dan dicicah dengan Laban(Yogurt masam).

Sere. Daging panggang yang dicincang dimakan bersama roti bersama bawang besar. Sedap wooo. rugi tak rasa kalau datang sini.

Salah satu kedai makan yang menyediakan juadah Sere. Kecik je tempat dia tapi ramai pengunjung yang datang. Yang datang bungkus pun ramai.

No comments:

Post a Comment